CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, August 9, 2011

Tabiat Buruk Dalam Berpuasa



Sebagaimana kita sedia maklum, Ramadhan adalah penghulu segala bulan dan ia juga bulan di mana Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran kepada Rasulullah SAW sebagai panduan dan petunjuk kepada manusia.

Allah SWT berfirman: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Namun, dalam menjalankan ibadat puasa, ada antara kita terlupa mengenai satu tabiat buruk yang mampu menipiskan amalan serta iman seseorang.

Tabiat buruk itu adalah sifat TAMAK dan BOROS, yang kemudiannya bertukar kepada pembaziran yang jelas dibenci oleh Allah SWT dan disebut dalam al-Quran sebagai PUNCA KEHANCURAN beberapa umat terdahulu.

Oleh kerana NAFSU, ramai daripada kita sanggup boros berbelanja bagi membeli pelbagai juadah yang sebenarnya tidak sesuai dengan selera. Akhirnya, pelbagai juada dibeli bukan sekadar memenuhi tuntutan nafsu makan, sebaliknya untuk dibazirkan, sekaligus MELANGGAR SUNNAH Rasulullah SAW yang menganjurkan supaya ‘makan sewaktu lapar, berhenti sebelum kenyang’.

Diriwayatkan bahawa satu masa dulu Nabi Yahya AS diperkenankan Allah SWT untuk berjumpa iblis. Dalam pertemuan itu, Nabi Yahya melihat iblis membawa pengait daripada pelbagai barangan. Nabi Yahya bertanya: “Wahai iblis, pengait apakah yang kamu bawa?” Ibils menjawab: “Semua yang aku bawa ini adalah untuk kesenangan nafsu, aku akan mendapatkan anak Adam dengannya.” Nabi Yahya bertanya lagi: “Adakan bahagian aku di dalamnya?” Iblis menjawab: “Ya,ada! Kadangkala kamu kenyang, lalu aku membuat kamu merasa berat untuk solat dan berzikir.”

Adalah jelas sifat tamak bukan saja membawa kepada PEMBAZIRAN, malah menyebabkan seseorang itu KEBERATAN MELAKSANAKAN IBADAT.

Sebagai peringatan kepada manusia mengenai sifat ini, Allah SWT berfirman bahawasanya: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara kepada syaitan dan syaitan itu pula sememangnya ingkar kepada tuhannya.” (Surah al-Isra’:27)

Sebagaimana dinyatakan dalam ayat ini, Allah SWT tidak menyukai hamba-Nya melakukan pembaziran berikutan ia satu sifat syaitan yang dilaknati-Nya dan kadangkala, oleh kerana terlalu gembira untuk berbuka, umat Islam tidak menyedari mereka melanggari etika murni yang ditetapkan Islam iaitu BERPADA-PADA DALAM PERBELANJAAN.

Berdasarkan ayat itu, boros dan membazir adalah perbuatan keji dan patut ditinggalkan orang yang mengaku diri mereka benar-benar beriman dengan Islam.

Malah, Allah SWT turut berfirman: “Wahai Bani Adam, Pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali kamu ingin ke tempat ibadah (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya, Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf:31)

Jelas, sebagai umat Islam, berbuka puasa sememangnya diwajibkan tetapi jangan ia digunakan sebagai PELUANG MELEPASKAN GERAM selepas seharian berpuasa.

Sewajarnya, ibadat berpuasa dijadikan medan melatih jiwa seseorang Muslim bertaqwa lagi penyabar, yakni dengan memakan secara sederhana sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Anak Adam itu tidak memenuhi satu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Jika tidak mustahil (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman, dan satu pertiga untuk pernafasan.” (Riwayat at-Tirmizi)



Rujukan:

Metro Ahad – 7 Ogos 2011, An-Nur (Pedoman), Kalam Imam Muda – Mohd Hassan Adli Yahya, hassan.adli@imhassan.my



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.::Follow Page Tautan Hat Jom.::