CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, July 27, 2011

FIQAH AMALI : TIDUR SELEPAS SUBUH



Sudah menjadi kebiasaan sesestengah orang tidur selepas solat Subuh, terutamanya pada hari cuti, sehingga sukar untuk mengubah sikap tersebut yang dikatakan tidak elok. Apakah amalan ini bertentangan dengan agama Islam? Mohon dirungkaikan permasalahan ini.

Jawapan :

Tidak ada dalil yang melarang untuk tidur setelah solat Subuh. Jadi, amalan tersebut kembali kepada hukum asal iaitu semua perkara adalah mubah iaitu harus dan tidak berdosa jika tidur selepas solat Subuh.

            Namun terdapat beberapa keburukan jika dipraktikkan, antaranya seperti kata salah seorang sahabat yang unggul, Ibn Abbas r.a. : “Orang yang tidur selepas Subuh akan dipayahkan rezeki untuknya.”

            Ibn Qayyim menulis dalam kitabnya Zad al-Ma’ad (jil.4,hlm.378) tentang salah satu perkara yang menghalang rezeki ialah tidur pada waktu pagi. Beliau juga berkata ia akan menyebabkan pelbagai penyakit antaranya melemahkan syahwat. Beliau menamakan tidur selepas Subuh sebagai khurq yakni tidur yang dicela dalam budaya Arab.

            Manakala dalam kitab beliau Madarij al-Salikin disebut dalam bab Mafasid al-Qalb (kerosakan hati) tentang hal yang sama. Salah satu punca rosaknya hati ialah banyak tidur pada waktu yang merosakkan seperti selepas Subuh dan Asar.

            Daripada ‘Urwah bin Zubair beliau berkata: “Dahulu Zubair melarang anak-anaknya tidur pada waktu pagi.” ‘Urwah berkata: “Sungguh, jika aku mendengar bahawa seseorang itu tidur pada waktu pagi, maka aku pun berasa tidak suka akannya.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah, no.25442. Sanad sahih)

            Menurut para salaf, tidur yang ditegah ialah tidur selepas solat Subuh sehingga terbit matahari. Waktu tersebut adalah waktu untuk menuai pahala yang melimpah ruah.

            Idola sepanjang zaman kita, Baginda SAW ialah model terbaik dalam mencontohi amalannya selepas solat Subuh. Setelah melaksanakan solat Subuh, Nabi SAW dan para sahabat duduk di dalam masjid sehingga matahari terbit.

            Daripada Samma’ bin Harb, aku bertanya kepada Jabir bin Samurah: “Adakah kamu kerap duduk bersama Rasulullah SAW?” Jabir bin Samurah berkata: “Ya,banyak kali. Rasulullah SAW tidak akan meninggalkan tempat beliau menunaikan solat Subuh sehingga matahari terbit. Apabila matahari terbit, beliau akan bangun meninggalkan tempat tersebut. Kadang-kadang para sahabat bersembang tentang masa jahiliah yang telah dilalui mereka sambil ketawa sedangkan Nabi SAW hanya tersenyum mendengar hal tersebut.” (Riwayat Muslim, jil.1, hlm.463 no.670)

            Kesimpulannya, tiada sebarang halangan untuk tidur selepas Subuh. Sunnah yang sebenranya adalah tidak tidur tetapi paling afdhal memanfaatkan waktu tersebut dengan amalan baik seperti membaca al-Quran, berzikir, menghadiri majlis ilmu dan seumpamanya. Sesungguhnya waktu pagi ialah waktu yang penuh berkat.

            Daripada Sakhr al-Ghamidi, Rasulullah SAW berdoa: Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu pagi.”

( rujukan : Ustaz Syed Mohd. Fadzli al-Yamani, Solusi Isu 32 )




2 comments:

Syaza Shii said...

thanks , share maklumat yg berguna ..^_^

Syaza Shii said...

information yg bermanfaat.. sy suka.. ^_^v..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.::Follow Page Tautan Hat Jom.::