CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, July 26, 2011

~ QANAAH MEREHATKAN JIWAMU ~



QANAAH MEREHATKAN JIWAMU
“B
aju dia jenama Adidas. Baju aku jenama Asadi je.”

            “Dia ade motor. Senang pecut ke kelas bila lambat. Aku terpakse jalan kaki awal-awal pagi.”
            “Wah, dia pakai pencuci muka Gamat Healin! Mahal tu. Aku pakai Safi je.”
            “Cantik jam tangan dia. Aku tak pernak ada jam tangan secanggih tu.”
            Kita suka membanding-bandingkan apa yang kita ada dengan orang lain,kan? Kalau ya, berhentilah! Ia hanya akan melelahkan jiwa kita.

Berkasut, Berselipar dan Berkaki Ayam

            Dalam urusan dunia, jika kita berkasut, pandanglah orang yang berselipar. Jika kita berselipar, pandanglah orang yang berkaki ayam. Ia akan menjadikan kita sentiasa bersyukur dengan atas apa yang kita miliki. Jika diberi harta yang lebih, kita rajin memberi. Jika diuji dengan kesempitan, kita tidak suka meminta-minta. Begitulah lazatnya jiwa yang QANAAH, sentiasa berasa cukup dengan apa yang kita ada.

            Sementara dalam urusan akhirat pula, sentiasalah memandang kepada golongan ulama. Biarlah kita tidak mengenal puas berusaha untuk meningkatkan diri agar menjadi lebih baik. Begitu juga dalam perihal menuntut ilmu. Jika kita berkaki ayam, pandanglah orang yang berselipar. Jika kita berselipar, pandanglah orang yang berkasut. Menuntut ilmu tidak harus berhenti selagi jasad belum ditelan bumi. Urusan akhirat dan ilmu, semakin diteguk, semakin lazat di jiwa.

Menyingkap Hikmah

            Orang yang tidak pernah cukup dengan apa yang ada, sentiasa resah memikirkan nasib diri. Kesannya, mereka merintih dan menyesali, membanding sehingga akhirnya merendah diri, bahkan sehingga hilang keyakinan dan mungkin menjadi pendengki.

            Orang yang qanaah pula biasanya dianugerahi sifat “arif” iaitu dapat memandang apa yang tersirat di sebalik sesuatu kejadian, keadaan atau masalah. Mengetahui hikmah bererti mengenali kebijaksanaan Tuhan. Apabila hubungan dengan Allah bertambah kukuh, semakin lazatlah jiwanya.

Ibarat Pengembala Melindungi Gembalaannya

            Jika pengembala berhati-hati melindungi gembaannya daripada marabahaya, Allah SWT jauh lebih hebat melindungi hamb-hamba-Nya yang qanaah daripada pesona dunia. Lalu, orang qanaah itu berhias ZUHUD.

            Dalam sebuah riwayat disebutkan munajat Nabi Musa a.s. yang menyebut firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Aku melindungi wali-wali-Ku daripada kenikmatan dunia dan kesenangannya, sebagaimana pengembala yang menyayangi dan melindungi untanya dari tempat gembalaan yang membahayakan.
“Sesunnguhnya Aku akan menjauhkan mereka daripada kesenangan dunia dan gemerlapannya, sebagaimana juga pengembala yang menyayangi untanya dan menjauhkan dari tempat yang boleh membuatnya lalai.
“Dan tidaklah hal itu kerana kelalaian mereka terhadap-Ku melainkan supaya mereka menyempurnakan bahagian mereka daripada kemuliaan-Ku dengan sempurna, sehingga dunia tidak melalaikan mereka dan hawa nafsu tidak memadamkan semangat ibadah mereka.” (Riwayat Ahmad)

Pujilah DIA

            Memiliki jiwa yang qanaah memerlukan mujahadah, proses menekuni dan meneliiti segala dialog hati. Pujilah Allah atas setiap apa yang sudi diberikan biarpun hati terasa berat. Puji-pujian ini akan meleburkan rasa ego dan sombong.

            Memuji Allah juga menyedarkan kita bahawa semua adalah milik-Nya termasuklah diri kita. Kita perlu sedar, kita cuma hamba.

            Jiwa yang sentiasa memuji-Nya tidak akan menderita keluh-kesah bahkan menjadi tenang. Jiwa sebegini sentiasa bertenaga untuk bekerja secara optimum dan dapat mengerahkan kudrat untuk mencapai prestasi kerja terhebat.

            Allah berfirman yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah yang memelihara apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan bagi-Nya (pula) segala puji di akhirat. Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.” (Surah Saba’ 34:1)

Wahai Jiwa Yang Tenang

            Moga-moga kelazatan dan kerehatan memiliki jiwa yang qanaah itu akan menyumbang kepada jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang akan diseur mulia oleh Khalik saat kita bertemu dengan-Nya.

Mafhum firman Allah yang bermaksud: “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah al-Fajr,89:27-30)

( petikan slot REMAJA : Fatimah Syarha Mohd Noordin )



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.::Follow Page Tautan Hat Jom.::