CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, July 27, 2011

FIQAH AMALI : TIDUR SELEPAS SUBUH



Sudah menjadi kebiasaan sesestengah orang tidur selepas solat Subuh, terutamanya pada hari cuti, sehingga sukar untuk mengubah sikap tersebut yang dikatakan tidak elok. Apakah amalan ini bertentangan dengan agama Islam? Mohon dirungkaikan permasalahan ini.

Jawapan :

Tidak ada dalil yang melarang untuk tidur setelah solat Subuh. Jadi, amalan tersebut kembali kepada hukum asal iaitu semua perkara adalah mubah iaitu harus dan tidak berdosa jika tidur selepas solat Subuh.

            Namun terdapat beberapa keburukan jika dipraktikkan, antaranya seperti kata salah seorang sahabat yang unggul, Ibn Abbas r.a. : “Orang yang tidur selepas Subuh akan dipayahkan rezeki untuknya.”

            Ibn Qayyim menulis dalam kitabnya Zad al-Ma’ad (jil.4,hlm.378) tentang salah satu perkara yang menghalang rezeki ialah tidur pada waktu pagi. Beliau juga berkata ia akan menyebabkan pelbagai penyakit antaranya melemahkan syahwat. Beliau menamakan tidur selepas Subuh sebagai khurq yakni tidur yang dicela dalam budaya Arab.

            Manakala dalam kitab beliau Madarij al-Salikin disebut dalam bab Mafasid al-Qalb (kerosakan hati) tentang hal yang sama. Salah satu punca rosaknya hati ialah banyak tidur pada waktu yang merosakkan seperti selepas Subuh dan Asar.

            Daripada ‘Urwah bin Zubair beliau berkata: “Dahulu Zubair melarang anak-anaknya tidur pada waktu pagi.” ‘Urwah berkata: “Sungguh, jika aku mendengar bahawa seseorang itu tidur pada waktu pagi, maka aku pun berasa tidak suka akannya.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah, no.25442. Sanad sahih)

            Menurut para salaf, tidur yang ditegah ialah tidur selepas solat Subuh sehingga terbit matahari. Waktu tersebut adalah waktu untuk menuai pahala yang melimpah ruah.

            Idola sepanjang zaman kita, Baginda SAW ialah model terbaik dalam mencontohi amalannya selepas solat Subuh. Setelah melaksanakan solat Subuh, Nabi SAW dan para sahabat duduk di dalam masjid sehingga matahari terbit.

            Daripada Samma’ bin Harb, aku bertanya kepada Jabir bin Samurah: “Adakah kamu kerap duduk bersama Rasulullah SAW?” Jabir bin Samurah berkata: “Ya,banyak kali. Rasulullah SAW tidak akan meninggalkan tempat beliau menunaikan solat Subuh sehingga matahari terbit. Apabila matahari terbit, beliau akan bangun meninggalkan tempat tersebut. Kadang-kadang para sahabat bersembang tentang masa jahiliah yang telah dilalui mereka sambil ketawa sedangkan Nabi SAW hanya tersenyum mendengar hal tersebut.” (Riwayat Muslim, jil.1, hlm.463 no.670)

            Kesimpulannya, tiada sebarang halangan untuk tidur selepas Subuh. Sunnah yang sebenranya adalah tidak tidur tetapi paling afdhal memanfaatkan waktu tersebut dengan amalan baik seperti membaca al-Quran, berzikir, menghadiri majlis ilmu dan seumpamanya. Sesungguhnya waktu pagi ialah waktu yang penuh berkat.

            Daripada Sakhr al-Ghamidi, Rasulullah SAW berdoa: Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu pagi.”

( rujukan : Ustaz Syed Mohd. Fadzli al-Yamani, Solusi Isu 32 )




Tuesday, July 26, 2011

~ QANAAH MEREHATKAN JIWAMU ~



QANAAH MEREHATKAN JIWAMU
“B
aju dia jenama Adidas. Baju aku jenama Asadi je.”

            “Dia ade motor. Senang pecut ke kelas bila lambat. Aku terpakse jalan kaki awal-awal pagi.”
            “Wah, dia pakai pencuci muka Gamat Healin! Mahal tu. Aku pakai Safi je.”
            “Cantik jam tangan dia. Aku tak pernak ada jam tangan secanggih tu.”
            Kita suka membanding-bandingkan apa yang kita ada dengan orang lain,kan? Kalau ya, berhentilah! Ia hanya akan melelahkan jiwa kita.

Berkasut, Berselipar dan Berkaki Ayam

            Dalam urusan dunia, jika kita berkasut, pandanglah orang yang berselipar. Jika kita berselipar, pandanglah orang yang berkaki ayam. Ia akan menjadikan kita sentiasa bersyukur dengan atas apa yang kita miliki. Jika diberi harta yang lebih, kita rajin memberi. Jika diuji dengan kesempitan, kita tidak suka meminta-minta. Begitulah lazatnya jiwa yang QANAAH, sentiasa berasa cukup dengan apa yang kita ada.

            Sementara dalam urusan akhirat pula, sentiasalah memandang kepada golongan ulama. Biarlah kita tidak mengenal puas berusaha untuk meningkatkan diri agar menjadi lebih baik. Begitu juga dalam perihal menuntut ilmu. Jika kita berkaki ayam, pandanglah orang yang berselipar. Jika kita berselipar, pandanglah orang yang berkasut. Menuntut ilmu tidak harus berhenti selagi jasad belum ditelan bumi. Urusan akhirat dan ilmu, semakin diteguk, semakin lazat di jiwa.

Menyingkap Hikmah

            Orang yang tidak pernah cukup dengan apa yang ada, sentiasa resah memikirkan nasib diri. Kesannya, mereka merintih dan menyesali, membanding sehingga akhirnya merendah diri, bahkan sehingga hilang keyakinan dan mungkin menjadi pendengki.

            Orang yang qanaah pula biasanya dianugerahi sifat “arif” iaitu dapat memandang apa yang tersirat di sebalik sesuatu kejadian, keadaan atau masalah. Mengetahui hikmah bererti mengenali kebijaksanaan Tuhan. Apabila hubungan dengan Allah bertambah kukuh, semakin lazatlah jiwanya.

Ibarat Pengembala Melindungi Gembalaannya

            Jika pengembala berhati-hati melindungi gembaannya daripada marabahaya, Allah SWT jauh lebih hebat melindungi hamb-hamba-Nya yang qanaah daripada pesona dunia. Lalu, orang qanaah itu berhias ZUHUD.

            Dalam sebuah riwayat disebutkan munajat Nabi Musa a.s. yang menyebut firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Aku melindungi wali-wali-Ku daripada kenikmatan dunia dan kesenangannya, sebagaimana pengembala yang menyayangi dan melindungi untanya dari tempat gembalaan yang membahayakan.
“Sesunnguhnya Aku akan menjauhkan mereka daripada kesenangan dunia dan gemerlapannya, sebagaimana juga pengembala yang menyayangi untanya dan menjauhkan dari tempat yang boleh membuatnya lalai.
“Dan tidaklah hal itu kerana kelalaian mereka terhadap-Ku melainkan supaya mereka menyempurnakan bahagian mereka daripada kemuliaan-Ku dengan sempurna, sehingga dunia tidak melalaikan mereka dan hawa nafsu tidak memadamkan semangat ibadah mereka.” (Riwayat Ahmad)

Pujilah DIA

            Memiliki jiwa yang qanaah memerlukan mujahadah, proses menekuni dan meneliiti segala dialog hati. Pujilah Allah atas setiap apa yang sudi diberikan biarpun hati terasa berat. Puji-pujian ini akan meleburkan rasa ego dan sombong.

            Memuji Allah juga menyedarkan kita bahawa semua adalah milik-Nya termasuklah diri kita. Kita perlu sedar, kita cuma hamba.

            Jiwa yang sentiasa memuji-Nya tidak akan menderita keluh-kesah bahkan menjadi tenang. Jiwa sebegini sentiasa bertenaga untuk bekerja secara optimum dan dapat mengerahkan kudrat untuk mencapai prestasi kerja terhebat.

            Allah berfirman yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah yang memelihara apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan bagi-Nya (pula) segala puji di akhirat. Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.” (Surah Saba’ 34:1)

Wahai Jiwa Yang Tenang

            Moga-moga kelazatan dan kerehatan memiliki jiwa yang qanaah itu akan menyumbang kepada jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang akan diseur mulia oleh Khalik saat kita bertemu dengan-Nya.

Mafhum firman Allah yang bermaksud: “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah al-Fajr,89:27-30)

( petikan slot REMAJA : Fatimah Syarha Mohd Noordin )



Wednesday, July 20, 2011

MUTIARA TASAWUF : ' BILAKAH PERLU BERSABAR? '





BILAKAH PERLU BERSABAR?

“Sabar itu bukan sekadar tertakluk ketika menghadapi musibah sahaja”

J
ika ditanya bila kita perlu bersabar, maka fahamilah dulu pembahagian SABAR berikut.

Syeikh Abdul Qadir Isa dalam Haqa’iq al-Tasawuf menukilkan pandangan para ulama terhadap pembahagian jenis-jenis sabar, iaitu:

1.       Sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada-Nya.
2.       Sabar dalam meninggalkan larangan-Nya.
3.       Sabar dalam menerima ujian dan musibah daripada-Nya.

Jadi sabar dituntut ketika menghadapi ketiga-tiga situasi di atas.

1.       Sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah bermaksud seseorang hamba itu sentiasa istiqamah dalam mentaati-Nya, beribadah kepada-Nya dengan segenap penyerahan zahir dan batin, melaksanakan amar makruf dan melarang kemungkaran, serta sentiasa sabar ketika menghadapi segala rintangan sepanjang ketaatan itu dilaksanakan. Bukankah setiap manusia yang melaksanakan ketaatan pasti akan diuji dengan pelbagai musibah dan dugaan?

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan serulah kepada kebaikan, serta cegahlah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala yang menimpamu.” (Surah Luqman 31:15)

2.       Sabar dalam meninggalkan larangan Allah pula bermaksud seseorang hamba itu berjihad melawan hawa nafsu yang sentiasa cenderung memperhambakan diri kepada selain-Nya. Dengan mujahadahnya itu, seseorang hamba akan berusaha membersihkan jiwanya daripada bisikan syaitan dan nafsu ke dalam jiwanya sehinggalah ia sampai kepada kurniaan janji-Nya yang benar.

Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang yang berjuang untuk (mencari redha) Kami, benar-benar akan Kami pimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut 29:69)

Bahkan Allah menganugerahkan kepadanya syurga yang dijanjikan untuk orang yang sabar dalam meninggalkan larangan.

Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan bagi mereka yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalannya), serta ia menahan dirinya daripada menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempatnya.” (Surah al-Naziat 79:40-41)

3.       Sabar menghadapi musibah pula adalah apabila seseorang hamba itu menyedari bahawa dunia ini hanyalah tempat ujian dan cubaan daripada Allah SWT serta ia bersifat sementara. Ia juga merupakan satu tarbiah bagi hamba agar menyedari hakikat kehambaan serta betapa lemahnya manusia yang tertakluk kepada kudrat dan iradat Allah semata-mata.

Mafhum firman-Nya: “(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.’ “ (Surah al-Baqarah 2:156)

Benarlah kata ahli sufi terkenal, Zunnun al-Misri: “Sabar adalah dengan menjauhi perkara-perkara maksiat, tetap tenang dalam menghadapi musibah dan menzahirkan kekayaan pada saat kefakiran dalam medan kehidupan.”

Inilah pembahagian sabar menurut para ulama tasawuf sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Abdul Qadir Isa.



Zunnun al-Misri dan Sahabat Sufi

Ketika Zunnun al-Misri menziarahi seorang ahli sufi yang sedang terlantar sakit, ia terdengar daripada mulut sufi itu rintihan. Maka berkata Zunnun kepadanya:
                “Tidak hakiki cinta seseorang hamba kepada-Nya apabila dia tidak bersabar atas pukulan-Nya.”

Seketika itu juga sufi itu menjawab:
                “Yang sebenarnya ialah tidak hakiki cinta seseorang hamba kepada-Nya apabila dia tidak menikmati pukulan-Nya.”


Kesempurnaan Sabar Baginda SAW

                Bahkan jika kita salami kesabaran mereka yang telah melalui ujian daripada Allah SWT ini sebenarnya terhasil daripada kefahaman mereka terhadap sifat kesabaran yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW.

                Ibn Mas’ud r.a. menyatakan: “Seolah-olah aku melihat sendiri (dengan mataku) bagaimana pada saat Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang Nabi yang dipukul oleh kaumnya sehingga darah mengalir dari wajahnya. Sambil mengesat wajahnya yang berlumuran darah, Nabi itu mengucapkan: ‘Ya Allah, kurniakanlah keampunan kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.’” 

Subhanallah! Betapa sempurnanya kesabaran yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW dalam menerima ujian daripada Allah. Segala kepahitan dan rintangan dihadapi dengan redha dan tabah demi menggapai anugerah yang dijanjikan oleh-Nya. Bukankah di sebalik setiap kesukaran itu pasti ada kemanisan yang menunggu? BerSABARlah!
  • Rujukan : Rashidy Jamil al-Rashid, Solusi Isu 32




<< BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH >>





BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH
K
isah ini diriwayatkan daripada Rasulullah SAW sendiri. Abu Hurairah meriwayatkan daripada Baginda SAW bahawa ada seorang lelaki yang ingin menziarahi sahabatnya yang menetap di sebuah kampung yang lain. Maka Allah SWT telah menghantar malaikat ke jalan yang dilaluinya untuk memerhatikan lelaki itu.

                Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggu oleh malaikat itu, malaikat bertanya: “Ke mana kamu ingin pergi?” Jawab lelaki itu jujur: “Aku ingin bertemu saudaraku di kampung ini.” Malaikat bertanya lagi: “Adakah bagi kamu ada apa-apa nikmat yang akan kamu peroleh daripadanya?” Lelaki itu menjawab: “Tidak. Aku menziarahinya hanya kerana  aku menyayanginya kerana Allah.” Berkata malaikat: “Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah SWT kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu kerana-Nya.” (Riwayat Muslim)

                Orang yang ikhlas bersahabat kerana Allah tidak menaruh apa-apa kepentingan peribadi daripada hubungan persahabatan yang terbina. Bukanlah harta dan pangkat yang dicari walaupun sahabat mampu memberikan kelebihan seperti itu. Namun, mereka yakin hakikat persahabatn yang baik itu hanya Allah yang mampu memberi ganjaran yang terbaik.  


( petikan ANEKDOT daripada Solusi Isu 33)



<< KHUSYUK DI MASJID, JUJUR DI PASAR >>


KHUSYUK DI MASJID, JUJUR DI PASAR
I
mam Abu Hanifah (w. 150H) ialah seorang peniaga sutera. Beliau menjual dan membeli sutera daripada pelanggannya. Pada suatu hari, seorang wanita datang untuk menjual kain sutera miliknya. Abu hanifah bertanya: “Berapa harga yang engkau inginkan?” Wanita itu menjawab: “Seratus dirham.”

Abu Hanifah berkata: “Harga kain ini lebih mahal daripada itu. Berapa harga yang engkau inginkan?” Perempuan itu menaikkan harga menjadi 200 dirham. Abu Hanifah tetap berkata: “Harganya lebih mahal daripada itu.”

Perempuan itu terus menambah harganya sehingga mencapai  400 dirham. Namun, Abu Hanifah tetap berkata: “Harganya tetap lebih mahal daripada itu.”

Akhirnya, perempuan itu berkata: “Engkau hendak mempermainkan aku?” Abu Hanifah menjawab: “Tidak. Jika engkau mahu tahu, sila datangkan seseorang yang benar-benar tahu harga sebenar kain ini.”

Wanita itu lalu menghadirkan seseorang yang mengetahui harga sebenar kain tersebut. Orang itu menilai kain itu dengan harga 500 dirham. Imam Abu Hanifah lalu membelinya dengan harga tersebut.

Kejujuran seperti ini yang kita harapkan daripada setiap orang yang melakukan solat. Dia tidak sekali-kali cuba mengambil kesempatan atas kekurangan orang lain, apalagi menipu untuk keuntungan peribadi.

( ANEKDOT daripada Solusi Isu 33 )


                

. : : ADAB BERSILATURRAHIM : : .



ADAB BERSILATURRAHIM
  • v IKHLAS

Wajib bagi sesiapa sahaja untuk mengikhlaskan niat kerana Allah dalam menyambung tali silaturrahim. Janganlah bersilaturrahim kerana tujuan riyak dan sum’ah atau untuk menunjuk-nunjuk di hadapan manusia.

  • v MENGHARAP PAHALA

Hendaklah bersilaturrahim kerana ingin mendapat pahala sebagaimana yang telah Allah janjikan tanpa menunggu balasan yang setimpal daripada manusia.

  • v MEMULAI YANG TERDEKAT

Semakin dekat hubungan tali persaudaraan, maka semakin wajib kita menyambungnya. Rasulullah pernah ditanya soalan: “Siapakah orang yang paling berhak digauli dengan baik?” Nabi mengatakan: “Ibumu, ibumu, ibumu, kemudian ayahmu, kemudian yang paling dekat denganmu, yang paling dekat denganmu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

  • v DAHULUKAN ORANG YANG PALING BERTAQWA

Semakin bertaqwa seseorang kepada Allah S.W.T, maka semkain besar pula haknya, juga semakin bertambah pahala bersilaturrahim dengannya. Walau bagaimanapun, bersilaturrahim itu juga dianjurkan dengan orang kafir, khususnya apabila mengajak kepada Islam.

  • v MENCARI-CARI KERABAT JAUH

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Pelajarilah nasab-nasab kalian yang dengan itu kalian dapat menyambung tali silaturrahim. Sebab menyambung silaturrahim dapat mendatangkan kasih sayang dalam keluarga, mendatangkan harta dan memanjangkan umur.” (Riwayat al-Tirmizi)

  • v TERUS MENYAMBUNG SILATURRAHIM DENGAN ORANG YANG MEMUTUSNYA

Firman Allah yang bermaksud: “Tolaklah kejahatan itu dengan cara lebih baik, maka tiba-tiba aka nada orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan, seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.” (Surah Fussilat,41 : 34)

  • v SEDEKAH

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sedekah kepada orang miskin mendapat satu pahala, sedangkan sedekah kepada saudara ada dua pahala, iaitu pahala bersedekah dan bersilaturrahim.” (Riwayat al-Nasa’i)

  • v NASIHAT

Memberikan nasihat dan amar makruf nahi mungkar kepada keluarga merupakan cara bersilaturrahim yang paling baik. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat.” (Surah al-Syu’araa,26 : 214)

  • v KOMUNIKASI BERTERUSAN

Seseorang hendaklah meneruskan dan melazimkan kunjungan ke rumah saudara dan rakan-rakan. Jika tidak mampu, hendaklah dia menghubunginya dengan telefon. Jika tidak memiliki telefon, maka boleh menulis surat, e-mel atau sebagainya. Sebab komunikasi tersebut dapat mempererat hubungan dan menumbuhkan kasih sayang kerana saling mengingati.

( petikan daripada Solusi Isu 33 )



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.::Follow Page Tautan Hat Jom.::