CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, March 5, 2010

SAYANGILAH HATI KITA

  Hati kita ada pintu-pintunya. Maka kita katakan 'pintu-pintu hati'. Tugas dan tanggungjawab kita adalah memastikan pintu-pintu hati tadi senantiasa terbuka luas. Tapi untuk apa? Supaya ia boleh menerima sebanyak-banyaknya cahaya hidayah serta ilmu Allah SWT.

   Biarpun hati kita senantiasa terbuka, namun kita harus awas selalu. Tahap keselamatannya harus dipantau dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Maklumlah banyak juga bilangan  musuh yang mahu menjajah kerajaan hat. Banyak musuh yang cemburu pada kegemilangan hati dengan nur hidayahnya yang berkilau serta ilmu Allah SWT yang sarat. Untuk itu, musuh-musuh itu tidak pernah rehat mengintai dan menanti peluang lewat dasar 'keterbukaan' pintu-pintu hati itu.
   Sehebat mana pun serangan musuh (nafsu dan syaitan), pintu-pintu hati mesti senantiasa terbuka. Tidak boleh tertutup. Terbukanya pintu-pintu hati melambangkan kehebatan dan 'gentle'nya dia. Hati yang pintu-pintunya terbuka tidak pernah gentar dengan serangan-serangan liar itu kerana ia rasa selamat dengan pagar-pagar yang melingkari dan merentang di sekelilingnya. Itulah pagar ketauhidan  (akidah), amal soleh, keikhlasan, keyakinan serta kesabaran.
   Syaitan dan nafsu tidak berupaya untuk terus-menerus menutup pintu-pintu hati yang terbuka tadi. Mereka amat takut dan gerun pada kilauan cahaya iman dan nur hidayah yang menyimbah laksana bebola mentari itu.
   Namun mereka tidak pernah putus asa. Mereka datang lagi dengan cara yang lain pula. Kali ini modus operandi  mereka adalah dengan berusaha keras secara berpasukan melemah dan merosakkan pagar-pagarnya yakni pagar-pagar hati tadi. Pagar yang tidak dipantau dan dikawal rapi akhirnya bolos juga!
   Senjata apa yang diasak sampai melumpuhkan pagar-pagar hati kita? Tidak lain dan tidak bukan itulah dosa-dosa yang kita lakukan sama ada kepada Allah SWT atau sesama manusia. Senjata dosa yang diguna pakai syaitan dan nafsu pada fasa pertamanya bertindak memusnahkan pagar-pagar hati. Pada fasa berikutnya ia menjadi lebih agresif dan kemaruk. Apabila bala tentera dosa datang dalam jumlah yang banyak, bukan saja pagar hati dapat diruntuhkan, bahkan pintu-pintu hati yang terbuka tadi pun bejaya diceroboh dan dibolosi. Apa yang terjadi selepas 'tentera penjajah' itu akan berjaya menguasai hati?
   Hati yang terbuka tadi akan menjadi tertutup. Cahaya iman yang berkemilau bertukar menjadi suram dan kelam. Cahaya ilmu tidak mendapat tempat lagi kerana pintu-pintu hati mula tertutup rapat.
   Pada fasa ini, manusia akan menjadi seorang yang lalai selalai-lalainya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sekali-kali tidak (demikian). Sebenarnya apa yang selalu mereka lakukan itu menutup hati mereka." (Al-Mutaffifin: 14).
   Al-Hasan menafsirkan ayat ini dengan berkata: "Ia bermaksud dosa demi dosa, sehingga hati menjadi buta."
   As-Syeikh Abu Bakar al-Jaza-iri rahimahullah dalam tafsirnya Aisarut Tafasir menyebutkan: "Dosa-dosa yang dilakukan itu menutupi hati-hati mereka dan mendinding mereka daripada menerima kebenaran."
   Ulamak lain pula menyebutkan: "Apabila dosa dan maksiat menjadi banyak, ia akan meliputi hati mereka." Dosa bermula dengan satu titik hitam (nuktah sauda-i) seterusnya merebak menjadi banyak. Kemudian ia menjadi karat di dalam hati. Setelah sekian lama kekaratan ini dibiarkan, ia beralih menjadi lapisan-lapisan yang menutupi hati dengan karung maksiat.
   Apabila keadaan ini berlaku kepada seseorang yang sebelum ini mendapat hidayah dan ilmu, maka ia akan menjadi terbalik. Ketika itu ia akan dikuasai oleh musuh-musuhya yang mengheretnya ke mana sahaja yang disukai mereka.
   Kesimpulannya rakan-rakan, sayangilah hati kita. Wallahua'lam. 


  

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.::Follow Page Tautan Hat Jom.::