CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, March 18, 2010

MENCARI SYURGA SEORANG IBU




Andainya dapat kuungkapkan
rimbunan bahasa kesyukuran
akan aku persembahkan seluruh taat setia
kerana betapa dari berjuta benih
aku telah dipilih-Nya
menuai tangkai hayat
di rimba rahim seorang ibu.

Andainya dapat kusimpul

aura bahasa pengorbanan
akan aku perhambakan seluruh kudrat
kerana betapa dari degup nadi persenyawaan
aku telah dilimpahi-Nya segala keberkatan
pada takhta hati seorang ibu
meletakkan aku di daerah hijau kehidupan.

Andainya dapat kutenun

fajar musim yang berlalu
akan aku pohonkan takzim
flora bahasa keampunan
kerana walau seluruh perkebunan nurani
mengalir zikrullah dan mujahadah
namun lazatnya syurga
hanya pada ladang bakti
untuk seorang ibu.




Bila Allah di kenali...




Kalau Allah kita kenali kasih sayang dan perananNya
Kalau Allah kita fahami keagungan dan kekuasaan Nya
Kalau Allah kita rasakan betapa Dia sangat cintakan hambaNya
Kita akan sanggup berjuang sanggup mati kerana Nya
Kita akan sanggup berkorban apa saja kerana Nya
 
Kalau Allah dikenali
Cintailah Allah Dia adalah segalanya
Korbankanlah apa sahaja kerana Nya
Cintakan Allah cinta paling mahal
Cintakan selain Allah cinta murahan
 
Kalau Allah kita kenali
Dialah segala-galanya
Kalau Allah kita fahami Dialah pengurus seluruh keperluan kita
Kalaulah kita faham Allah ini siapa sebenarnya
Kita akan sanggup menerima ujian kerana Nya
Kita sanggup buat apa saja demi cinta pada Nya
Kita akan sanggup menerima ujian kerana Nya
Kita akan sanggup menderita demi cinta padaNya
 
Kalau Allah dikenali
Cintailah Allah Dialah adalah segalanya korbankanlah apa sahaja kerana Nya
Cintakan Allah cinta yg abadi, cintakan selain Allah cinta murahan...



Aku mahu tinggalkan dunia dalam sujud ku...



SUATU malam ketika aku sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku melihat seolah-olah ayahanda menjelma di hadapanku. Perasaan kasih pada ayahanda tidak dapat ditahan-tahankan lagi, lalu aku berteriak: "Ayah... sudah lama tiada berita dari langit sejak ayahanda tiada!"
Waktu itu aku terlalu rindu setelah beberapa hari ayahanda wafat. Ketika aku sedang memanggil-manggil ayahanda, muncul pula para malaikat bersaf-saf lantas menarik tanganku, membawa aku naik ke langit.

Apabila aku mendongak temampaklah istana-istana indah yang dikelilingi taman-taman pawana serta anak-anak sungai mengalir saujana mata memandang.
Keindahan istana demi istana dan taman demi taman berjajaran di hadapan mata begitu mengasyikkan. Dari celahan pintu-pintu istana tersebut menjelmalah para bidadari seolah-olah patung bernyawa yang sangat jelita, sentiasa tersenyum dan bergelak ketawa. Bidadari itu berkata kepadaku: "Selamat datang wahai makhluk yang diciptakan syurga untuknya, dan kerana ayahanda kamu, kami diciptakan..."
Malaikat itu terus membawa aku naik ke langit seterusnya sehingga memasuki sebuah tempat yang dipenuhi istana-istana yang lebih indah daripada sebelumnya. Cahayanya bergemerlapan.
Dalam setiap istana itu terdapat rumah-rumah berisi pelbagai perhiasan indah yang belum pernah dilihat mata, tidak terdengar di telinga dan tidak pernah tersirat di hati. Penghuni istana-istana ini sentiasa bergembira, bergelak ketawa dan ceria. Di istana itu terdapat pelbagai kain sutera nipis dan tebal. Juga terdapat selimut-selimut daripada sutera dengan pelbagai warna dan corak.
Di atas rak-rak kelihatan pelbagai jenis gelas diperbuat daripada emas dan perak yang sungguh menawan. Pelbagai jenis hidangan makanan, buah-buahan serta air minuman yang lazat dan enak tersedia untuk dimakan. Pemandangan di taman-taman pula sungguh memukau dengan aliran sungai yang warnanya lebih putih daripada susu, rasanya lebih manis daripada madu dan baunya lebih semerbak daripada kesturi.
Aku yang kehairanan dan takjub lantas bertanya: "Untuk siapakah tempat-tempat indah sebegini dicipta? Apa nama sungai-sungai yang harum mewangi ini?"
Malaikat-malaikat itu menjawab:
"Tempat ini adalah Firdaus, tempat paling tinggi dan tiada lagi syurga di atasnya. Syurga Firdaus ini khas untuk singgahsana ayahandamu, semua rasul, nabi, para syuhada dan syiddiqun yang dicintai Allah. Sungai ini bernama al-Kautsar yang telah Allah janjikan kepada ayahandamu."
Aku bertanya lagi: "Di mana ayahandaku?"
Malaikat-malaikat menjawab: "Sebentar lagi ayahandamu akan datang menjemputmu!"
Tidak lama kemudian aku ternampak istana-istana yang sangat putih dan permaidani yang tersangat indah. Tiba-tiba aku sudah berada di atas permaidani yang terbentang di atas singgahsana. Aku ternampak ayahandaku sedang berehat di atas singgahsana tersebut dikelilingi sekelompok orang yang tidak dikenali. Ayahanda menarik tanganku dan mencium dahiku berkali-kali.
Ayahanda berkata: "Selamat datang wahai puteriku!"
Lalu ayahanda meletakkan aku di atas pangkuannya dan berkata lagi:
"Wahai puteriku, tidakkah engkau lihat apa yang telah dijanjikan Allah kepadamu dan yang akan engkau perolehi?"
Ayahanda menunjukkan istana-istana yang disaluti bermacam-macam hiasan yang indah menawan serta berkilau-kilauan, saujana mata memandang. Ayahanda berkata: "Inilah tempat tinggalmu, kediaman suamimu, kedua-dua anakmu serta orang-orang yang mencintaimu dan mencintai mereka. Bergembiralah... engkau akan mengikut ayahanda datang ke sini beberapa hari lagi..."
Aku berkata: "Kalau begitu senanglah hatiku dan bertambah rindu pada ayahanda."
Selepas berjumpa beberapa ketika dengan ayahanda, aku terjaga. Tubuhku menggigil dan terasa takut yang amat sangat. Aku masih teringat-ingat bisikan ayahanda. Aku akan mengikut langkah ayahanda beberapa hari lagi. Aku masih ingat ayahanda berkata perkara yang sama sebelum wafat. Ayahanda pernah membisikkan bahawa akulah orang pertama yang menyahut panggilan Ilahi selepasnya.
Sejak hari ayahanda wafat lagi aku selalu menangis dan bersedih. Perasaan sedih makin terasa selepas bermimpi bertemu ayahanda. Aku tahu tidak lama
lagi aku akan meninggalkan dunia fana ini untuk bersama ayahanda tercinta di akhirat yang kekal, aman dan sentosa.
Aku menceritakan mimpi tersebut pada suamiku dan juga pembantuku Asma binti Umays. Aku beritahu saat ajal hampir tiba. Asma menunjukkan pelepah kurma basah untuk membuat usungan seperti yang dilihat dibuat di Habshah.
Aku tersenyum apabila melihat keranda itu. Aku berwasiat supaya jenazahku nanti dikebumikan pada malam hari agar tiada seorang pun yang marah apabila melihat jenazahku. Aku juga meminta suamiku supaya menikahi Umamah, saudara perempuanku. Umamah menyayangi anakku seperti aku menyayangi mereka.
Setelah merasa saat ajal hampir tiba aku membawa dua orang anakku menziarah makam ayahanda. Tubuhku terasa sangat lemah untuk memijak. Tapi aku gagahi juga untuk bersembahyang dua rakaat antara mimbar dan makam ayahanda.
Tidak lama lagi jasadku akan berpisah dengan roh. Aku akan meninggalkan dua puteraku. Lalu aku peluk dan cium kedua-duanya bertubi-tubi. Sayang, ibumu terpaksa pergi dulu...
Selamat tinggal sayangku, puteraku dan suami tercinta. Biarlah aku menghadap Ilahi tanpa tangisan sesiapa. Aku tidak sanggup melihat tangisan puteraku dan suamiku. Biarlah mereka berada di sisi makam ayahanda dan suamiku bersembahyang. Kalau boleh aku mahu tinggalkan dunia ini dalam bersujud pada Ilahi.
Aku terus meninggalkan dua puteraku dan membiarkan suamiku bersembahyang di masjid. Aku mengambil ramuan hanuth, sejenis pengawet mayat yang ayahandaku biasa gunakan. Aku siramkan air ramuan itu ke seluruh tubuhku. Kemudian aku memakai kain sisa kapan ayahandaku. Selepas itu sekali lagi aku memanggil Asma binti Umays yang sentiasa mengurus dan merawatku.
Pada Asma aku berpesan, "Wahai Asma, perhatikanlah aku. Sekarang aku hendak masuk ke rumah membaringkan tubuhku sekejap. Jika aku tidak keluar, panggillah aku tiga kali dan aku akan menjawab panggilanmu. Tetapi jika aku tidak menjawab, ketahuilah aku telah mengikut jejak langkah ayahandaku!"

Setelah sejam berlalu, Asma memanggil-manggil nama wanita itu tetapi tiada sebarang jawapan. Ketika penjaga itu masuk, dia terkejut apabila melihat wanita kurus cengkung itu meninggal dunia dalam sujudnya. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun...

***********
Aku dalam cerita di atas ialah Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah dengan isteri pertamanya Siti Khadijah. Fatimah meninggal dunia dalam usia 28 tahun setelah 40 hari Rasulullah s,a.w. wafat dan jenazahnya dimakamkan di perkuburan Baqi' di Madinah. Masih adakah wanita solehah seperti Fatimah di zaman moden ini?

Thursday, March 11, 2010

MEMBINA KEYAKINAN DIRI...

Metafora : Si Anak Gajah...


   Seekor anak gajah dirantai sejak kecil pada sebatang tiang. Pada mulanya, anak gajah itu meronta-ronta untuk melepaskan diri. Anak gajah itu tidak berdaya kerana kakinya masih kecil, manakala rantai serta tiang yang menambatnya begitu kuat. Hari demi hari dicubanya, tetapi anak gajah itu tidak dapat melepaskan diri. Lama-kelamaan, anak gajah itu tidak mahu mencuba lagi kerana takut dengan risiko kegagalan. 

   Setelah bertahun dalam keadaan itu, anak gajah membesar sebagai gajah dewasa. Badan, kaki dan lain-lain anggota badannya sudah turut membesar lebih daripada rantai dan tiang yang menambatnya sejak kecil. Secara logiknya, dengan sekali rentap sahaja besi dan tiang itu boleh tercabut. Sayangnya, gajah itu tidak pernah berfikir untuk berbuat begitu. Kenapa?? KERANA SUDAH HILANG KEYAKINAN DIRI. Pengalaman gagal sewaktu kecil menyebabkan gajah itu tidak mahu mencuba lagi. Padanya, ia tetap tidak mahu melakukannya.

PENGAJARAN : Inilah bahana hilang keyakinan diri. Dan dalam kehidupan manusia, apa yang dialami oleh gajah itu juga sering terjadi. Khususnya buat umat Islam yang sekian lama dijajah oleh musuh dalaman dan luarannya, semangat berjuang menjadi semakin luntur.


Friday, March 5, 2010

SAYANGILAH HATI KITA

  Hati kita ada pintu-pintunya. Maka kita katakan 'pintu-pintu hati'. Tugas dan tanggungjawab kita adalah memastikan pintu-pintu hati tadi senantiasa terbuka luas. Tapi untuk apa? Supaya ia boleh menerima sebanyak-banyaknya cahaya hidayah serta ilmu Allah SWT.

   Biarpun hati kita senantiasa terbuka, namun kita harus awas selalu. Tahap keselamatannya harus dipantau dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Maklumlah banyak juga bilangan  musuh yang mahu menjajah kerajaan hat. Banyak musuh yang cemburu pada kegemilangan hati dengan nur hidayahnya yang berkilau serta ilmu Allah SWT yang sarat. Untuk itu, musuh-musuh itu tidak pernah rehat mengintai dan menanti peluang lewat dasar 'keterbukaan' pintu-pintu hati itu.
   Sehebat mana pun serangan musuh (nafsu dan syaitan), pintu-pintu hati mesti senantiasa terbuka. Tidak boleh tertutup. Terbukanya pintu-pintu hati melambangkan kehebatan dan 'gentle'nya dia. Hati yang pintu-pintunya terbuka tidak pernah gentar dengan serangan-serangan liar itu kerana ia rasa selamat dengan pagar-pagar yang melingkari dan merentang di sekelilingnya. Itulah pagar ketauhidan  (akidah), amal soleh, keikhlasan, keyakinan serta kesabaran.
   Syaitan dan nafsu tidak berupaya untuk terus-menerus menutup pintu-pintu hati yang terbuka tadi. Mereka amat takut dan gerun pada kilauan cahaya iman dan nur hidayah yang menyimbah laksana bebola mentari itu.
   Namun mereka tidak pernah putus asa. Mereka datang lagi dengan cara yang lain pula. Kali ini modus operandi  mereka adalah dengan berusaha keras secara berpasukan melemah dan merosakkan pagar-pagarnya yakni pagar-pagar hati tadi. Pagar yang tidak dipantau dan dikawal rapi akhirnya bolos juga!
   Senjata apa yang diasak sampai melumpuhkan pagar-pagar hati kita? Tidak lain dan tidak bukan itulah dosa-dosa yang kita lakukan sama ada kepada Allah SWT atau sesama manusia. Senjata dosa yang diguna pakai syaitan dan nafsu pada fasa pertamanya bertindak memusnahkan pagar-pagar hati. Pada fasa berikutnya ia menjadi lebih agresif dan kemaruk. Apabila bala tentera dosa datang dalam jumlah yang banyak, bukan saja pagar hati dapat diruntuhkan, bahkan pintu-pintu hati yang terbuka tadi pun bejaya diceroboh dan dibolosi. Apa yang terjadi selepas 'tentera penjajah' itu akan berjaya menguasai hati?
   Hati yang terbuka tadi akan menjadi tertutup. Cahaya iman yang berkemilau bertukar menjadi suram dan kelam. Cahaya ilmu tidak mendapat tempat lagi kerana pintu-pintu hati mula tertutup rapat.
   Pada fasa ini, manusia akan menjadi seorang yang lalai selalai-lalainya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sekali-kali tidak (demikian). Sebenarnya apa yang selalu mereka lakukan itu menutup hati mereka." (Al-Mutaffifin: 14).
   Al-Hasan menafsirkan ayat ini dengan berkata: "Ia bermaksud dosa demi dosa, sehingga hati menjadi buta."
   As-Syeikh Abu Bakar al-Jaza-iri rahimahullah dalam tafsirnya Aisarut Tafasir menyebutkan: "Dosa-dosa yang dilakukan itu menutupi hati-hati mereka dan mendinding mereka daripada menerima kebenaran."
   Ulamak lain pula menyebutkan: "Apabila dosa dan maksiat menjadi banyak, ia akan meliputi hati mereka." Dosa bermula dengan satu titik hitam (nuktah sauda-i) seterusnya merebak menjadi banyak. Kemudian ia menjadi karat di dalam hati. Setelah sekian lama kekaratan ini dibiarkan, ia beralih menjadi lapisan-lapisan yang menutupi hati dengan karung maksiat.
   Apabila keadaan ini berlaku kepada seseorang yang sebelum ini mendapat hidayah dan ilmu, maka ia akan menjadi terbalik. Ketika itu ia akan dikuasai oleh musuh-musuhya yang mengheretnya ke mana sahaja yang disukai mereka.
   Kesimpulannya rakan-rakan, sayangilah hati kita. Wallahua'lam. 


  

Thursday, March 4, 2010

SOAL JAWAB SOLAT

~TERLUPA SUJUD SAHWI~


Saya terlupa duduk & membaca tasyahud awal. Kemudian, saya berniat melakukan sujud sahwi. Namun, sesudah tahiyat akhir, saya terlupa juga untuk sujud sahwi. Adakah solat saya masih dikira sah memandangkan tasyahud awal itu sunat ab'adh?

Jawapan : Menurut mazhab Syafi'i, duduk tasyahud awal & bacaan tasyahud awal adalah sunat ab'adh. Sekiranya tertinggal kerana lupa/sengaja, solat tetap sah. Namun disunatkan sujud sahwi, sama ada terlupa/sengaja meninggalkannya.
   Pendapat yang mengatakan bahawa tasyahud awal itu sunat bukannya wajib, dinisbahkan oleh Imam al-Nawawi kepada majoriti ulama. Katanya,"Ia merupakan pendapat kebanyakan ulama, antaranya Malik, al-Thauri, al-Auza'ie & Abu Hanifah." Syeikh Abu Hamid berkata, "Ia adalah pendapat sekelian ulama."(Al-Majmu',3/450)
   Hujah sunatnya tasyahud awal ialah sebuah hadis Buhainah iaitu Nabi menunaikan solat Zuhur dengan para sahabat.Lalu, Baginda bangun pada rakaat ke-2 & tidak duduk (tasyahud awal). Setelah selesai solat, ketika sahabat menunggu Baginda memberi salam, Nabi SAW sujud 2x sebelum memberi salam.(Riwayat al-Bukhari no.795 & Muslim no.570)
   Manakala yang mewajibkannya pula berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari(no.605) hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat." Dan dimaklumi  solat Baginda ada tasyahud awal. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.::Follow Page Tautan Hat Jom.::