CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, July 20, 2011

MUTIARA TASAWUF : ' BILAKAH PERLU BERSABAR? '





BILAKAH PERLU BERSABAR?

“Sabar itu bukan sekadar tertakluk ketika menghadapi musibah sahaja”

J
ika ditanya bila kita perlu bersabar, maka fahamilah dulu pembahagian SABAR berikut.

Syeikh Abdul Qadir Isa dalam Haqa’iq al-Tasawuf menukilkan pandangan para ulama terhadap pembahagian jenis-jenis sabar, iaitu:

1.       Sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada-Nya.
2.       Sabar dalam meninggalkan larangan-Nya.
3.       Sabar dalam menerima ujian dan musibah daripada-Nya.

Jadi sabar dituntut ketika menghadapi ketiga-tiga situasi di atas.

1.       Sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah bermaksud seseorang hamba itu sentiasa istiqamah dalam mentaati-Nya, beribadah kepada-Nya dengan segenap penyerahan zahir dan batin, melaksanakan amar makruf dan melarang kemungkaran, serta sentiasa sabar ketika menghadapi segala rintangan sepanjang ketaatan itu dilaksanakan. Bukankah setiap manusia yang melaksanakan ketaatan pasti akan diuji dengan pelbagai musibah dan dugaan?

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan serulah kepada kebaikan, serta cegahlah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala yang menimpamu.” (Surah Luqman 31:15)

2.       Sabar dalam meninggalkan larangan Allah pula bermaksud seseorang hamba itu berjihad melawan hawa nafsu yang sentiasa cenderung memperhambakan diri kepada selain-Nya. Dengan mujahadahnya itu, seseorang hamba akan berusaha membersihkan jiwanya daripada bisikan syaitan dan nafsu ke dalam jiwanya sehinggalah ia sampai kepada kurniaan janji-Nya yang benar.

Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang yang berjuang untuk (mencari redha) Kami, benar-benar akan Kami pimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut 29:69)

Bahkan Allah menganugerahkan kepadanya syurga yang dijanjikan untuk orang yang sabar dalam meninggalkan larangan.

Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan bagi mereka yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalannya), serta ia menahan dirinya daripada menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempatnya.” (Surah al-Naziat 79:40-41)

3.       Sabar menghadapi musibah pula adalah apabila seseorang hamba itu menyedari bahawa dunia ini hanyalah tempat ujian dan cubaan daripada Allah SWT serta ia bersifat sementara. Ia juga merupakan satu tarbiah bagi hamba agar menyedari hakikat kehambaan serta betapa lemahnya manusia yang tertakluk kepada kudrat dan iradat Allah semata-mata.

Mafhum firman-Nya: “(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.’ “ (Surah al-Baqarah 2:156)

Benarlah kata ahli sufi terkenal, Zunnun al-Misri: “Sabar adalah dengan menjauhi perkara-perkara maksiat, tetap tenang dalam menghadapi musibah dan menzahirkan kekayaan pada saat kefakiran dalam medan kehidupan.”

Inilah pembahagian sabar menurut para ulama tasawuf sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Abdul Qadir Isa.



Zunnun al-Misri dan Sahabat Sufi

Ketika Zunnun al-Misri menziarahi seorang ahli sufi yang sedang terlantar sakit, ia terdengar daripada mulut sufi itu rintihan. Maka berkata Zunnun kepadanya:
                “Tidak hakiki cinta seseorang hamba kepada-Nya apabila dia tidak bersabar atas pukulan-Nya.”

Seketika itu juga sufi itu menjawab:
                “Yang sebenarnya ialah tidak hakiki cinta seseorang hamba kepada-Nya apabila dia tidak menikmati pukulan-Nya.”


Kesempurnaan Sabar Baginda SAW

                Bahkan jika kita salami kesabaran mereka yang telah melalui ujian daripada Allah SWT ini sebenarnya terhasil daripada kefahaman mereka terhadap sifat kesabaran yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW.

                Ibn Mas’ud r.a. menyatakan: “Seolah-olah aku melihat sendiri (dengan mataku) bagaimana pada saat Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang Nabi yang dipukul oleh kaumnya sehingga darah mengalir dari wajahnya. Sambil mengesat wajahnya yang berlumuran darah, Nabi itu mengucapkan: ‘Ya Allah, kurniakanlah keampunan kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.’” 

Subhanallah! Betapa sempurnanya kesabaran yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW dalam menerima ujian daripada Allah. Segala kepahitan dan rintangan dihadapi dengan redha dan tabah demi menggapai anugerah yang dijanjikan oleh-Nya. Bukankah di sebalik setiap kesukaran itu pasti ada kemanisan yang menunggu? BerSABARlah!
  • Rujukan : Rashidy Jamil al-Rashid, Solusi Isu 32




2 comments:

Afiqahai said...

perkongsian menarik! ^_^
terima kasih kerana sudi berkongsi.
=)

A'ainAbirah said...

alhamdulillah...insyaAllah :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.::Follow Page Tautan Hat Jom.::