CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, February 10, 2011

HADITH 1 - Setiap Amalan Adalah Niat





Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."
Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih (Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya pada bahagian awal kitab sahihnya, juga dalam Kitab Iman dan beberapa tempat lain dalam kitab sahihnya. Al-Imam Muslim meriwayatkannya dalam Kitab al-Imarah Bab : إنما الأعمال بالنية)


SYARAH HADITH OLEH DR. MUSTAFA AL-BUGHA DAN MUHYIDDIN MISTO 
Kepentingan Hadith: 

Sesungguhnya hadith ini adalah di antara hadith penting yang menjadi paksi kepada putaran Islam. Ia adalah asas kepada Islam. Kebanyakan hokum-hukam Islam bersandarkan kepada hadith ini. Ini jelas dapat dilihat daripada kata-kata para ulama’ 

Imam Abu Daud berkata: “Sesungguhnya hadith ini iaitu hadith bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat adalah separuh daripada Islam, kerana ad-din itu dua perkara, sama ada ianya perkara zahir iaitu amalan ataupun yang batin iaitu niat” 

Sementara Imam Ahmad dan Imam Syafie pula berkata: “Di dalam hadith ini (iaitu hadith “Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat”) mengandungi satu pertiga ilmu. Sebabnya ialah kerana usaha seseorang itu adalah sama ada dengan hati, lidah atau anggota tubuh badannya. Maka niat dengan hati adalah salah satu daripada tiga pembahagian tersebut.” Kerana itulah para ulama’ suka memulakan kitab-kitab serta penulisan mereka dengan hadith ini. Imam Bukhari telah meletakkan hadith ini pada awal kitab sahihnya. Imam Nawawi juga telah memulakan ketiga-tiga kitabnya iaitu Riyadhus Sholihin, al-Azkaar dan al-Arba’uuna Hadiithan (Hadith Empat Puluh) dengan hadith ini. 

Faedah pembukaan dengan hadith ini ialah sebagai peringatan kepada penuntut ilmu agar mrngikhlaskan niatnya semata-mata kerana Allah Taala di dalam menuntut ilmu dan melakukan amalan kebaikan. 

Maksud Kalimah 

Al-Khafshu: Singa dan abu khufshin adalah gelaran kepada Saidini Umar bin al-Khattab 

Innama: Bahawasanya. Ia adalah huruf hasr yang bertujuan untuk menisbatkan sesuatu yang disebut selepas daripada perkataan ini dan menafikan selainnya. 

Binniyat: Jamak (plural) kepada niati. Maknanya dari segi bahasa ialah tujuan. Dari segi istilah pula ialah tujuan yang diserai dengan perbuatan. 

Amrii: setiap orang. Iaitu semua insane sama ada lelaki mahupun perempuan. 

Hijratuhu: Hijrahnya. Hijrah pada bahasa ialah meninggalkan. Dari segi syara’, hijrah ertinya berpindah dari Negara kafir ke Negara Islam kerana takutkan fitnah. Yang dimaksudkan dengan hijrah di dalam hadith ini ialah perpindahan dari Mekah dan lainnya ke Madinah sebelum berlakunya pembukaan kota Mekah. 

Ilallahi: kepada Allah, iaitu ke tempat yang diredhai oleh Allah Taala dengan niat dan tujuan yang diredhaiNYA. 

Fahijratuhu ilallahi warasulihi: Maka hijrahnya itu adalah kerana Allah dan RasulNya.Maksudnya, hijrahnya itu diterima dan diberikan ganjaran. 

Lidunya yushibuha: kerana dunia yang akan diperolehinya. Maksudnya, kerana tujuan keduniaan yang ingin diperolehinya. 

Sebab Hadith ini Dilafazkan 

Imam at-Thabrani telah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Mu’jam al-Kabir dengan rantaian perawinya yang tsiqah, daripada Ibnu Mas’ud Radhiyallahuanhu beliau berkata: “Terdapat di kalangan kami, seorang lelaki yang meminang seorang perempuan yang dikenali dengan nama ummu Qais. Perempuan tersebut enggan mengahwininya kecuali apabila lelaki tersebut berhijrah ke Madinah. Dia pun berhijrah dan mengahwini perempuan tersebut. Maka kami menamakannya sebagai ‘Penghijrah Ummu Qais’."


Kandungan Hadith 

1. Syarat Niat 

Ulama’ telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh mukmin yang mukallaf tidak dikira dari sudut syara’ dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat. Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung (al-‘ibadatul maqshudah) seperti sembahyang, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut dikira tidak sah kecuali apabila dilakukan dengan niat. 

Manakala ibadat tidak langsung, iaitu yang hanya menjadi wasilah seperti wudhuk dan mandi, maka ulama’ Mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Manakala ulama’ mazhab Syafi;e dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat langsung tidak sah kecuali disertai dengan niat. 

2. Waktu niat dan tempatnya 

Waktu niat ialah permulaan ibadat, seperti takbiratul ihram di dalam ibadat sembahyang dan ihram di dalam ibadat haji. Manakala di dalam ibadat puasa, memadai niat sebelum bermulanya puasa kerana kesukaran untuk memerhati fajar pagi. 

Tempat niat ialah di hati, justeru itu tidak disyaratkan berlafaz dengan niat tersebut. Walaupun begitu, disunatkan berlafaz sebagai menolong hati untuk memudahkannya mengingati apa yang ingin diniatkan. Disyaratkan juga pada niat, menentukan perkara yang diniatkan dan membezakannya daripada perkara lain. Oleh itu tidak memadai bagi seseorang itu sekadar meniatkan sembahyang sahaja, bahkan mesti menentukan jenis sembahyang tersebut sama ada zohor atau asar dan seterusnya. 


3. Berniat untuk melakukan sesuatu amal soleh 

Hadith ini juga menerangkan bahawa sesiapa yang telah berniat untuk melakukan sesuatu amal soleh, tetapi terdapat keuzuran yang kuat seperti sakit, mati atau seumpamanya yang menghalang seseorang daripada melaksanakannya, maka dia diberi pahala berdasarkan niatnya itu. 

4. Ikhlas di dalam amalan dan ibadat 

Hadith ini juga membimbing kita supaya ikhlas di dalam amalan dan ibadat sehingga kita mendapat ganjaran dan pahala di akhirat, juga mendapat taufik serta kejayaan di dunia. 

5. Amalan yang bermanfaat 

Setiap amalan yang bermanfaat dan baik akan menjadi ibadat apabila disertai dengan niat dan keikhlasan serta menuntut keredhaan Allah s.w.t.



------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


=tAuTaN HaTI=

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.::Follow Page Tautan Hat Jom.::